MENU
 

SAMBUTAN HARI ANTIRASUAH ANTARABANGSA (HARA) 2020 PERINGKAT MAJLIS DAERAH YONG PENG

Bertempat di Dewan Persidangan Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) telah berlangsung Program Penyerahan dan Menandatangani Watikah Sempena Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) Peringkat Negeri Johor dan Majlis Daerah Yong Peng dengan tema “PBT Perangi Pemberi Rasuah”.

Program ini dimulakan dengan kehadiran Tuan Haji Sa’ad bin Shukor, Penolong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negeri Johor bersama deligasi ke pejabat MDYP dan telah disambut oleh Tuan Mohd Haniff bin Ahmad Yang DiPertua (YDP) MDYP, Tuan Mohamad Noor Azam bin Sulaiman Setiausaha MDYP para pegawai MDYP serta sebahagian wargakerja MDYP.

Sambutan HARA 2020 ini telah dimulakan dengan bacaan doa dan seusai bacaan doa, Tuan Mohd Haniff bin Ahmad telah menyampaikan ucapan aluan yang menerangkan keberadaan MDYP adalah bersama-sama dengan SPRM dalam mencegah dan memerangi jenayah rasuah di kalangan pegawai dan kakitangan dibawah seliaannya serta buat julung-julung kalinya menyempurnakan sambutan HARA bersama SPRM pada tahun ini.

Beliau juga mengingatkan perkara ini agar tiada penjawat awam yang terlibat mahupun mendekatkan diri dengan segala perbuatan rasuah. Etika kerja yang digunapakai dalam setiap gerak kerja juga perlu menjurus kepada keteguhan nilai integriti dan membanteras rasuah dalam kalangan masyarakat dapat direalisasikan.

Seterusnya, Tuan Haji Sa’ad bin Shukor telah menyatakan PBT khususnya MDYP dipilih adalah kerana ianya adalah rakan strategik dalam melaksanakan sambutan kali ini dan MDYP antara agensi yang banyak berurusan dengan orang awam dalam melaksanakan pembangunan negeri ini.

Selain itu beliau turut melaungkan keyakinan yang tinggi mengenai integriti terhadap pegawai dan kakitangan MDYP dalam mendepani gejala penawaran rasuah dengan adanya program-program kesedaran berkaitan integriti dan penyalahgunaan kuasa.

Pihak SPRM juga mengucapkan terima kasih dalam menjayakan program pada kali ini dan menyeru pejawat awam supaya menolak dan melaporkan pemberian rasuah kepada SPRM serta terdapat ganjaran kepada sesiapa yang melaporkan penawaran kesalahan tersebut kepada SPRM sepertimana termaktub di bawah seksyen 25 Akta SPRM 2009.

Program diteruskan lagi dengan Tuan Mohd Haniff bin Ahmad YDP telah menandatangani watikah Janji Warga PBT Perangi Pemberi Rasuah sambil diperhatikan oleh Tuan Haji Sa’ad bin Shukor, Penolong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negeri Johor dan deligasi yang hadir. Program ini diakhiri dengan sesi bergambar kenang-kenangan.

Terima kasih juga kepada Tuan Raja Abu Bakar bin Raja Yahya Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang yang turut hadir serta menjadi contoh tauladan kepada penjawat awam dalam membendung amalan rasuah dikalangan kakitangan awam.